YBhg. Datuk Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan telah merasmikan Majlis Pelancaran Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bersama Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Kajang.
Pelaksanaan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA adalah antara inisiatif utama dalam kerangka Ekonomi MADANI, dengan tumpuan kepada pemberian bantuan secara bersasar kepada golongan memerlukan. STR dan SARA setakat ini telah memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan kelayakan sehingga RM4,600. Kedua-dua bantuan ini bukan sekadar bentuk sokongan kewangan tetapi sebagai komitmen Kerajaan untuk memastikan tiada golongan rentan yang tercicir daripada menerima bantuan Kerajaan, termasuklah prospek yang sedang menjalani proses koreksional dan pemulihan.
Pemberian SARA ini adalah melibatkan 42,665 prospek di 43 institusi penjara dan 6 Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) seluruh negara membabitkan peruntukan RM4.2 juta yang akan menerima pek bernilai RM100 yang mengandungi barangan asas seperti biskut, pakaian solat, dan produk kebersihan diri yang disediakan khas bagi menepati prosedur keselamatan dan keperluan prospek itu sendiri.
Kaedah pemberian SARA ini akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia bersama Koperasi Penjara Malaysia (KOPEN) yang juga Rakan Niaga SARA dan bertindak sebagai pembekal pek barangan SARA ini kepada prospek.
YBhg. Datuk Zamzuri juga merakamkan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia yang telah mengusulkan agar Program SARA ini turut dipanjangkan kepada prospek, selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan keadilan sosial, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.