Pilih bahasa anda
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah merasmikan Inisiatif BAKAT MADANI di d’Tempat Country Club, Sendayan, Negeri Sembilan.
Turut hadir ialah YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara serta YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
BAKAT MADANI merupakan satu ikhtiar nasional yang menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan PETRONAS bagi memperkukuh pembangunan bakat negara serta menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran, memperoleh pekerjaan berkualiti dan menikmati mobiliti sosial yang lebih baik.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS; memperluas peluang pekerjaan merentas sektor strategik negara; serta memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Lebih 700 jemputan hadir pada majlis ini, terdiri daripada barisan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS serta para penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.
Dalam tempoh setahun bermula pertengahan tahun 2026, BAKAT MADANI menyasarkan seramai 25,000 individu mendapat manfaat menerusi peluang pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti dan peningkatan mobiliti sosial.
Layari laman sesawang Kementerian Kewangan di pautan https://www.mof.gov.my/ms/bakat-madani untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Inisiatif BAKAT MADANI.