YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan (MOF) yang diadakan di Jeti Nelayan, Kampung Terus, Kubang Semang, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Puan Roziyah Shariff yang hadir mewakili YBhg. Dato’ Seri Haji Zulkifli Long, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Zairi Haji Mat Ali, Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang, YM Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad, Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, MOF dan YBhg. Dato’ Kamarul Haizal Koderat, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MOF sebagai agensi peneraju Kampung Angkat MADANI. Di Pulau Pinang, empat buah kampung telah dikenalpasti sebagai Kampung Angkat MOF, iaitu Kampung Pulau Betong di Daerah Barat Daya, Kampung Bukit Indera Muda, Kampung Guar Perahu dan Kampung Terus di Daerah Seberang Perai Tengah.
Selaras dengan objektif Kampung Angkat MADANI, pelbagai projek pembangunan fizikal akan dilaksanakan bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan asas di keempat-empat kampung ini. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup serta kemudahan awam demi keselesaan penduduk setempat.
Selain itu, inisiatif komuniti melibatkan aspek sosial, pendidikan, keusahawanan, sukan dan kebudayaan turut dirancang. Semua inisiatif ini digerakkan dengan berpandukan kepada keperluan setempat dan kesejahteraan rakyat, seiring dengan prinsip MADANI.
Terdahulu, penganjuran program Kampung Angkat MADANI MOF Tahun 2025 ini dimulakan dengan penganjuran program Ceramah Perdana bertajuk 'Ujian Dunia, Bekalan Akhirat' pada 25 Julai 2025 bertempat di Masjid An-Nur Kampung Guar Perahu, Penanti. Program ini telah dijayakan dengan kehadiran Imam Muda Asyraf selaku penceramah jemputan yang juga anak tempatan di negeri Pulau Mutiara dan dihadiri lebih kurang 340 jemaah dan anak kariah setempat.
Dalam penganjuran program Kenduri Rakyat Kampung Angkat MADANI MOF ini juga, YBhg. Datuk Johan turut berkesempatan menghadiri lawatan tapak dan sesi taklimat fizikal di Kampung Bukit Indera Muda, Seberang Perai dan menyertai program Jom Ronda Sungai di sekitar kawasan jeti nelayan Kampung Terus Kubang Semang sebagai sebahagian daripada komitmen Kementerian dalam memastikan pelaksanaan yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah untuk para hadirin.