YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Turut hadir YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan.
Program Sekolah Angkat MADANI telah digagaskan untuk menangani jurang pendidikan di serata negara. Organisasi yang mengambil sekolah angkat telah memberi komitmen kepada kerjasama jangka panjang yang memfokuskan kepada lima bidang utama, iaitu: meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasa program akademik dan bimbingan pelajar; memperkukuh latihan serta pembangunan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar.
Sekolah Angkat MADANI dicetuskan hasil seruan YAB Dato’ Seri Anwar agar sektor korporat Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara — khususnya dalam bidang pendidikan.
Program ini juga telah meraih komitmen daripada 80 organisasi sektor awam serta swasta dan menyasarkan 1,000 buah sekolah untuk diangkat. Sokongan yang diterima termasuk daripada 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOFI]; menonjolkan pendekatan seluruh negara.
Program yang bermula pada April 2025 ini diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan.