Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Julai 2026

Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Julai 2026

Pendidikan membina bakat. Reformasi memperkukuh ekonomi. Apabila kedua-duanya bergerak seiring, Malaysia melangkah lebih yakin ke hadapan.

Dalam amanat kepada warga Kementerian Pendidikan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas kepada kemajuan negara dan kunci untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era perkembangan pesat teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI). Beliau turut menyeru ibu bapa, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar berganding bahu melengkapkan generasi muda dengan ilmu, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk mendepani cabaran masa hadapan.

Beliau turut menekankan peranan guru dalam membentuk sahsiah pelajar, di samping memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa lain bagi meningkatkan keupayaan komunikasi dan kebolehpasaran graduan.

Terdahulu, dalam amanat kepada warga Kementerian Kewangan (MoF), YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, menegaskan bahawa reformasi fiskal memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan secara lebih cekap, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi menerusi BUDI MADANI Diesel, ruang fiskal yang diwujudkan membolehkan Kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada keutamaan negara seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan. Pada masa yang sama, inisiatif BAKAT MADANI, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pelaksanaan e-Invois terus memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Apabila pendidikan diperkasa dan reformasi dilaksanakan secara berkesan, Malaysia bukan sahaja membina ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan, malah melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing untuk memacu kemajuan negara pada masa hadapan.

Perjumpaan YAB Dato’ Seri Anwar bersama-sama warga Kementerian Pendidikan di Auditorium Kompleks E, Putrajaya turut disertai oleh warga MoF secara dalam talian, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh sinergi antara reformasi pendidikan dan reformasi ekonomi demi kemakmuran.

Arkib Foto