Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKSH

Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKSH

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah memenuhi jemputan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri KPDNKSH untuk menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH).

Dalam ucapannya, beliau menyambut baik usahasama erat antara Kementerian dalam melaksanakan ikhtiar Kerajaan MADANI.

Datuk Seri Amir Hamzah menerangkan kedudukan kewangan negara dan berkongsi usaha holistik Kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan fiskal dan mengurangkan defisit fiskal melalui beberapa pendekatan utama. Kerajaan berusaha meningkatkan hasil demi memulihkan kedudukan kewangan negara agar penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap dan kesejahteraan rakyat lebih terjamin.

Beberapa reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan hasil negara dan pada masa yang sama mengelakkan rakyat daripada menanggung beban berlebihan. Ikhtiar-ikhtiar ini adalah pertimbangan yang amat sukar, namun terpaksa dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

Jelasnya lagi, melalui penjimatan rasionalisasi subsidi, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bantuan kepada rakyat melalui Belanjawan 2024 bagi meringankan kos sara hidup golongan yang memerlukan.

Beliau juga menekan isu ketirisan yang berlaku di negara ini yang merugikan rakyat dan negara, contohnya diesel bersubsidi. Pada tahun 2019, penggunaan diesel bersubsidi bernilai 6.1 bilion liter dan meningkat kepada 10.8 bilion liter pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, peningkatan sebanyak 70% ini tidak menggambarkan pengembangan ekonomi negara.

Perkara ini menjadi petanda berlakunya ketirisan akibat daripada perbezaan harga subsidi dan harga komersil yang disalahguna yang kemudiannya menjadi beban kepada pengurusan kewangan negara serta merugikan rakyat.

Datuk Seri Amir Hamzah juga mengucapkan tahniah atas usaha KPDNKSH dalam Ops Kesan bagi memantau implikasi pelaksanaan kenaikan SST itu termasuk pemantauan kepada sektor tidak terlibat dengan SST seperti makanan dan minuman supaya tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Kerajaan MADANI bertekad menjayakan reformasi fiskal agar struktur kewangan negara kekal mampan serta mempunyai lebih ruang untuk memberi jaringan sosial yang sewajarnya kepada rakyat berdasarkan keperluan. Penyasaran semula subsidi pukal merupakan tunjang utama dalam usaha reformasi ekonomi Malaysia diterajui Kerajaan MADANI.

Arkib Foto

Logo Accessibility