YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan ll telah menyampaikan amanat beliau di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MoF) bagi bulan Disember di Kompleks MoF, Putrajaya.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan); serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah MoF.
Beliau melalui ucapannya menyatakan bahawa sepanjang tahun ini kita semua telah melihat bagaimana kerangka Ekonomi MADANI membuahkan hasil yang memberangsangkan walaupun negara dilanda dengan ketidaktentuan ekonomi global, kesan geopolitik serta risiko tarif. Namun demikian, kita dapat melihat petanda-petanda positif yang melonjakkan keyakinan terhadap pertumbuhan negara antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus berkembang dengan ketara pada 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 serta defisit fiskal yang dijangka berkurang kepada 3.8 peratus pada tahun ini dan Ringgit muncul sebagai mata wang terbaik di rantau ini.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada semua warga MoF atas segala usaha dan kejayaan pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan supaya warga MoF terus memikul amanah, berintegriti, berdisiplin dan mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sekali gus dapat melakar nama negara dengan lebih hebat.
Usai amanat beliau, warga MoF berkesempatan mendengar amanat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara penstriman langsung di Kementerian Kerja Raya.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata semua pihak perlu memanfaatkan kestabilan politik yang dikecapi negara buat masa ini untuk merangka dan melaksanakan program jelas demi kebaikan rakyat. Hal ini kerana kestabilan politik Malaysia kini membolehkan kerajaan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, mengurangkan kadar pengangguran dan merekodkan kadar kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah.