YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah menyampaikan Amanat Tahun 2025 kepada Warga Jabatan Perdana Menteri. Majlis ini telah distrim secara langsung di semua Kementerian.
Amanat YAB Dato’ Seri Anwar menitipkan keperluan untuk berhijrah daripada ‘culture of contentment’ (budaya selesa) dan bertekad melakukan sebaik mungkin agar memperbaiki kekurangan yang ada. Sungguhpun dalam dua tahun Pentadbiran Kerajaan MADANI ini Malaysia telah mengecapi kemajuan ekonomi dan Warga Kerajaan telah meningkatkan prestasi mereka, YAB Dato’ Seri Anwar mengingatkan semua agar tidak terpukau dengan pujian semata tetapi berikhtiar lagi untuk memberi yang terbaik kepada negara dan rakyat.
Tegas beliau, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri yang memungkinkan kita untuk menjadi negara hebat di kalangan rantau Asia. Namun begitu, Warga Kerajaan perlu menginsafi bahawa ada ruang yang perlu diperbaiki kerana hakikatnya, masih lagi ramai rakyat yang terpinggir, miskin dan tersisih daripada kitaran ekonomi negara.
Dalam hal ini, YAB Dato’ Seri Anwar berkata, perkhidmatan serta bantuan yang dihulurkan Kerajaan perlulah adil kepada semua rakyat Malaysia kerana orang yang menjaga hidayah dan beramal soleh tidak memandang warna kulit atau latar belakang untuk mengamalkan sifat manusiawi.
Di Kementerian Kewangan, bantuan-bantuan yang diberikan kepada rakyat terbanyak seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah berdasarkan garis ukur pendapatan untuk mengurangkan kesenjangan kekayaan di antara rakyat. Kementerian Kewangan juga telah mempraktikkan amalan tender terbuka untuk semua perolehan agar hasil Kerajaan dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Terlebih dahulu, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara turut menyampaikan ucapan ringkas dan berkesempatan merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar mewakili penjawat awam di atas pelaksanaan pelarasan dan kenaikan gaji.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II juga berkesempatan menyampaikan amanat tahun baharu 2025 semasa majlis perhimpunan di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya. Beliau menyeru warga MOF supaya fokus kepada pelaksanaan Belanjawan 2025, reformasi fiskal, memerangi ketirisan, meningkatkan kecekapan penyampaian dan menyokong pengantarabangsaan Malaysia, khususnya dalam mempengerusikan ASEAN 2025.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah MOF.
Diharapkan semoga tahun 2025 ini dapat menjulang Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di persada global serta darjat hidup rakyat dipertingkat lagi.