YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir ke Majlis Sambutan Hari Hasil 2022 ke-26 yang berlangsung di Menara Hasil, Cyberjaya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah berjaya mengutip lebih RM140 bilion dalam hasil cukai bagi tahun 2021, peningkatan 17 peratus berbanding 2020. Kejayaan yang amat membanggakan sebegini merupakan usaha transformasi HASiL yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services. Peningkatan hasil menunjukkan lebih banyak sumber boleh dibelanjakan demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.

Namun begitu, peranan HASiL bukan sekadar mengutip cukai malah turut meringankan beban rakyat menerusi agihan Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Prihatin Nasional dan terkini adalah Bantuan Keluarga Malaysia.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2021 dan Anugerah Most Outstanding Hasilian 2021. Dalam pada itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala usaha dan kerjasama semua pihak.

Beliau berharap agar Keluarga HASiL mengekalkan momentum positif yang telah berjaya dicapai dan terus berusaha untuk melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2022 dan akan datang.