Majlis sambutan ketibaan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I dan YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan II telah diadakan pada hari ini bertempat di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya sebaik sahaja selesai majlis mengangkat sumpah di Istana Negara.

Warga MOF turut berkesempatan beramah mesra dengan ketiga-tiga tetamu kehormat dan mematuhi Standard Operating Procedures (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19.

Dalam pada itu, YB Menteri Kewangan turut menyampaikan ucapan aluan kepada warga MOF dan beliau telah menggariskan beberapa perkara penting yang perlu dicapai #TeamMOF dalam masa yang terdekat. Fokus utama ialah memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Oleh itu, beliau menekankan supaya penyampaian bantuan Kerajaan kepada penerima berjalan dengan lancar dan merangka Belanjawan 2022 sebagai belanjawan yang inklusif seiring dengan Rancangan Malaysia ke-12. Beliau juga yakin bahawa warga MOF akan terus bekerja keras bagi memastikan kesejahteraan #KeluargaMalaysia.
Sebelum majlis berakhir, YBhg. Dato' Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut menyampaikan cenderahati iaitu Buku Meja Kopi yang bertajuk Teguh Kita, Menang Bersama kepada beliau sebagai penghargaan.