YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir ke sesi mesyuarat antara Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Parlimen bersama YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan, YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan, dan YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya dalam menghadapi COVID-19.

Sejak beberapa minggu lalu, Kerajaan telah mula memberikan kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa. Kelonggaran ini juga diberikan bagi menyokong kelangsungan sektor ekonomi dan kebajikan rakyat dari segi sosial dan mental.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa negara masih sedang berperang dengan COVID-19. Beliau berharap agar rakyat sentiasa menjaga SOP kerana kawalan kendiri inilah yang menjadi benteng pertahanan utama. Beliau juga berharap #KeluargaMalaysia dapat menikmati kelonggaran yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab sehingga negara dapat keluar dari pandemik ini dengan selamat.
