Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC)

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC)

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) bagi membincangkan keadaan ekonomi serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan.

Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan ahli Jawatankuasa termasuk YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Prospek pemulihan ekonomi dalam masa terdekat lebih memberangsangkan, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN). Selain itu, pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang tepat pada masanya turut memberikan pemangkin tambahan kepada pemulihan ekonomi yang ditunjukkan oleh indikator ekonomi yang lebih baik.

Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, pemulihan Malaysia amat bergantung kepada pemulihan ekonomi global terutamanya rakan dagang utama negara. Pertumbuhan 2022 dijangka kembali berkembang kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun hadapan. Selain itu, pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada 6.0 peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa manakala 5.8 peratus menurut Bank Dunia.

Keutamaan segera Kerajaan adalah mengembalikan potensi dan kapasiti pertumbuhan negara supaya rakyat dan perniagaan dapat mengadaptasi norma baharu serta membuat pelaburan untuk pertumbuhan masa hadapan dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Berteraskan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan kekal komited membantu semua lapisan rakyat dalam krisis pandemik, melaksanakan langkah pemulihan yang selamat dan sistematik seperti yang digariskan dalam PPN serta memacu pemulihan mampan di bawah Belanjawan 2022 akan datang.