YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) yang pertama dan telah dipengerusikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri bagi memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah #Bajet2022.

Bajet 2022 merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan RM332.1 bilion. Seperti yang beliau nyatakan sebelum ini, walaupun terdapat pelbagai inisiatif untuk rakyat di dalam Bajet 2022, sekiranya ia tidak dimanfaatkan, memang tiada gunanya. Oleh itu, proses pemantauan akan melibatkan kerjasama rapat di antara kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan efisien serta efektif.
Berkaitan dengan bencana banjir yang meninggalkan impak yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan ingin menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian diberi perhatian khusus di dalam penyediaan Bajet 2022. Antara lain, sejumlah RM450 juta telah diperuntukkan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti manakala Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion akan diterbitkan bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara.
Beliau berharap dengan kerjasama semua, kita akan berjaya melaksanakan Bajet 2022 demi kesejahteraan bersama.
Untuk maklumat lanjut mengenai Bajet 2022, orang ramai boleh melayari di laman sesawang https://budget.mof.gov.my/manfaat/