Mesyuarat pertama Majlis Pekerjaan Negara (National Employment Council – NEC) telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof.
NEC adalah majlis tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif Kerajaan khusus dalam sektor pekerjaan. Selain itu, ia turut memainkan peranan penting dalam menangani isu struktural berkaitan pasaran buruh, pengangguran dan penyediaan tenaga kerja.
Bagi tahun 2022, seramai 600,984 rakyat Malaysia telah berjaya mendapat pekerjaan atau menjana pendapatan sendiri berbanding sasaran 600,000 yang ditetapkan.
Dari segi penciptaan pekerjaan baharu pula, sebanyak 144,376 telah berjaya direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik. Pencapaian ini adalah 104% iaitu lebih tinggi daripada sasaran iaitu 138,342. Selain itu, kadar penggangguran juga telah menurun kepada 3.6% iaitu lebih rendah daripada sasaran 4.0% bagi tahun 2022.
Bagi tahun ini, NEC telah mengenalpasti sebanyak 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 Agensi Pelaksana dan dipantau secara aktif oleh LAKSANA yang bertindak sebagai Sekretariat NEC.