YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk membincangkan isu-isu dasar bagi menetapkan hala tuju ekonomi negara, agar kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia MADANI.

Peranan MTEN adalah penting dalam menentukan keutamaan dan fokus ekonomi, terutamanya untuk memastikan pelaksanaan sesuatu perkara itu dapat disegerakan sekali gus membawa hasil kepada rakyat keseluruhannya.
Beberapa perkara telah dibincangkan dalam mesyuarat kali ini antaranya terkait inisiatif perkongsian data dan pewujudan Pangkalan Data Utama (PADU) dan hala tuju pemberian subsidi secara bersasar.
Mesyuarat MTEN yang seterusnya akan terus memantau keadaan ekonomi semasa serta membincangkan perkara-perkara yang menjadi keutamaan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Secara keseluruhannya, Kerajaan kekal fokus untuk memastikan pelaksanaan dasar ekonomi dapat menjamin pembangunan yang lebih inklusif ke arah mencapai hasrat Malaysia MADANI.