Pilih bahasa anda
YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) telah mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC 2026 (FMM) yang diadakan di Hong Kong SAR, China.
Fokus utama mesyuarat ini adalah tinjauan makroekonomi dan kewangan global serta serantau dengan memberi tumpuan kepada dasar fiskal yang menyokong kesejahteraan isi rumah, pembiayaan infrastruktur digital dan keterangkuman kewangan.
YBhg. Dato’ Zamzuri telah menyampaikan intervensi dalam kesemua sesi perbincangan dan telah mengetengahkan Kerangka Ekonomi MADANI dan hala tuju dasar Belanjawan 2027. Beliau menegaskan bahawa perlindungan sosial merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan menegaskan semula komitmen Malaysia untuk menyokong isi rumah melalui subsidi bersasar dan bantuan langsung.
Selain itu, Malaysia menyeru kerjasama serantau dan perkongsian pengetahuan yang lebih meluas dalam kalangan ekonomi APEC untuk memupuk daya tahan dan pertumbuhan mampan di seluruh Asia-Pasifik. Menjelang APEC 2027, Malaysia menyatakan sokongannya kepada Vietnam selaku hos ekonomi supaya meneruskan Dialog Bakat Kewangan Muda.
Mesyuarat ini diakhiri dengan kenyataan bersama yang menegaskan semula komitmen ekonomi anggota untuk membina komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 selaras dengan Visi Putrajaya APEC 2040 dan Pelan Incheon.