YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan semasa program #TinjauMoF ke daerah Jempol dan Kuala Pilah telah berkesempatan untuk singgah ke Masjid Kariah Kg. Tengah, Masjid Kariah Kg. Parit dan Madrasah Yam Tuan Beringin.
Rumah-rumah Allah ini sangat bermakna kepada beliau kerana leluhur beliau terlibat di dalam pembangunan kesemuanya.
Masjid Kariah Kg. Tengah telah didirikan pada tahun 1927 dipelopori oleh moyang beliau Almarhum Raja Haji Tachik bin Raja Yassin dan Tuan Haji Mohd Yusof. Pada ketika itu masjid ini dianggap antara masjid yang terindah di kawasan tersebut. Masjid Kariah Kg. Parit turut diasaskan oleh Almarhum Raja Haji Tachik bersama YM Raja Yaacob bin Raja Embong.






Madrasah Yam Tuan Beringin pula didirikan pada awal 1960an. Nenda beliau, Almarhum Raja Zainal Abidin bin Raja Haji Tachik merupakan penaungnya dan di bawah pengurusan surau ini terdapat empat buah surau kecil iaitu Surau Kg Gamin, Surau Bukit Perah, Surau Puteh Tanjung Ipoh dan Madrasah Al-Ikhwan Kg Purun.
Semasa lawatan tersebut beliau turut mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Almarhum Yam Tuan Beringin dan Almarhum Raja Haji Tachik. Yam Tuan Beringin yang dikenali sebagai Raja Pagar Ruyung kembali ke rahmatullah pada tahun 1880 manakala Almarhum Raja Haji Tachik pula kembali ke rahmatullah pada tahun 1952. Almarhum nenda beliau Raja Zainal Abidin juga telah kembali menemui Ilahi pada tahun 2013.