YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah membuat tinjauan keadaan peniaga sekitar Pasar Jalan Raja Bot atau juga lebih popular dikenali sebagai Pasar Chow Kit. Sememangnya pasar yang berusia lebih 60 tahun ini adalah titik tumpu untuk beratus-ratus peniaga kecil yang meliputi kawasan pasar itu sendiri dan juga berniaga sekitar jalan-jalan melingkari daerah pasar itu.
Tujuan beliau melawat Pasar Chow Kit sebenarnya adalah untuk meninjau operasi peniaga-peniaga kecil dan mikro. Tidak dinafikan pandemik Covid-19 dan langkah PKP memberi kesan yang sangat besar kepada kelompok ini sejak tahun lalu. Rata-rata antara kita faham akan perlunya langkah PKP untuk mengekang penularan Covid-19, tetapi pada masa yang sama Kerajaan juga peka kepada cabaran yang dihadapi peniaga kecil serata negara akibat penularan wabak itu.






Seperti yang pernah beliau tekankan sebelum ini, mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat adalah satu perkara yang mencabar. Untuk peniaga kecil, sehingga kini, di bawah Geran Khas Prihatin (GKP 1.0) yang mula-mula diperkenalkan pada bulan Mac 2020, dan kemudiannya GKP 2.0, Kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan sejumlah RM2.7 bilion dan memanfaatkan hampir 900,000 PKS & peniaga mikro. Di bawah Pakej PERMAI pula, Kerajaan memperuntukkan RM830 juta bagi tambahan bantuan kepada peniaga kecil yang sudahpun berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).⠀
Bagi peniaga-peniaga kecil di Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan juga telah melancarkan inisiatif Wilayah Cakna di mana pada tahun 2020, penjaja dan peniaga kecil di premis DBKL dikecualikan sewa dengan kos keseluruhan hampir RM8.2 juta. Di samping itu, pengecualian turut diberikan untuk pembaharuan fi lesen penjaja bagi tahun 2021 melibatkan kos RM3.8 juta.⠀