YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia, telah melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH).
YAB Perdana Menteri juga telah menyampaikan mandat beliau kepada 6 Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) semasa pelancaran tersebut.
PERKUKUH adalah sebuah inisiatif yang dizahirkan untuk GLIC mencapai lima hasil utama iaitu memperjelas mandat setiap GLIC, peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu, menyemarakkan sektor swasta, menyiap siaga GLIC melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan dan yang terakhir adalah mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal.
GLIC adalah penyumbang penting kepada asas ekonomi Malaysia. Oleh itu, peningkatan tadbir urus dan proses-proses yang berkaitan juga akan membolehkan GLIC untuk terus berdaya tahan walaupun ketika masa-masa sukar, yang seterusnya akan menyokong kestabilan ekonomi Malaysia.