Kerajaan komited untuk meningkatkan perlindungan sosial untuk memastikan akses kepada sekurang-kurangnya tahap asas perlindungan dan keselamatan sosial bagi #KeluargaMalaysia.

Sehubungan dengan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk memudahkan pembelian produk insurans dan takaful bagi semua ahlinya.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan turut telah berkesempatan hadir ke sesi pelancaran tersebut.

Beliau difahamkan bahawa i-Lindung dapat membantu ahli KWSP mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Pelan-pelan tersebut dapat menggantikan pendapatan atau simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah seperti kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.
Yang paling penting, perlindungan ini boleh diperolehi dengan sumbangan premium yang berjumlah hanya beberapa ringgit sebulan, menerusi syarikat-syarikat insurans serta pengendali takaful yang disediakan di atas platform KWSP. Malah, yang lebih istimewa, beliau difahamkan ahli tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan untuk membeli pelan insurans atau takaful yang ditawarkan di platform KWSP.
Orang ramai boleh melayari laman web rasmi KWSP (www.kwsp.gov.my) atau hubungi 03-8922 6000 untuk maklumat lanjut.