YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir ke Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur untuk menyampaikan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada golongan terjejas melalui masjid-masjid di kawasan setempat.
![]() |
![]() |
Sumbangan bukan sahaja untuk ahli kariah beragama Islam, malah untuk golongan rentan dari semua agama. Turut hadir untuk menyampaikan sumbangan adalah Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Pengagihan bersama LHDNM adalah contoh konsep whole of nation di bawah Pelan Pemulihan Negara di mana agensi-agensi Kerajaan dan Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga turut melibatkan diri dalam membantu Kerajaan mengagihkan bantuan, seiring dengan usaha memastikan kesejahteraan semua.

Program Bakul Makanan adalah sebuah program yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan PERMAI, kemudiannya diperluaskan di bawah Pakej PEMULIH, di mana Kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen mengagihkan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan di kawasan mereka. ⠀
Setakat ini, beliau telah mengagihkan 1,000 bakul makanan di Bangi dan 500 bakul makanan di Lembah Pantai dengan nilai keseluruhan RM150,000. Bagi mereka yang masih memerlukan bantuan, beliau menyarankan untuk mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat khidmat komuniti masing-masing.