Sejurus selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Stadium Bukit Jalil, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan ke Masjid Al-Hasanah, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi bersama-sama Encik Jay Khairil Jeremy Abdullah, Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) Malaysia untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil-wakil masjid, surau dan persatuan penduduk berdekatan.

Pihak MOF telah menyumbangkan sebanyak 500 bakul makanan bernilai RM50,000 dan jumlah yang sama turut disumbangkan oleh pihak BSN.
Hadir sama di dalam majlis tersebut adalah YB Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi.

Di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 bagi setiap ahli parlimen untuk Program Bakul Makanan demi membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang politik.

Inilah komitmen Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Kerajaan juga amat menghargai dan mengalu-alukan sumbangan oleh pihak Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta, serta Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selaras dengan konsep whole of nation. Semoga usaha sebegini diteruskan dan bersama-sama kita menjaga antara satu sama lain demi kesejahteraan semua.