Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025

Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut hadir adalah YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali, Pengerusi KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn, Ketua Pegawai Eksekutif dan Menteri-Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta ahli Lembaga dan Panel Pelaburan KWSP.

Persidangan edisi ke-12 tahun ini bertemakan “Living to a Hundred: Are We Prepared?” mencerminkan keperluan mendesak untuk menangani kesan peningkatan jangka hayat terhadap persaraan, penjagaan kesihatan dan ekonomi secara keseluruhan. ISWC 2025 membincangkan pendekatan untuk mendepani realiti baharu jangka hayat lebih panjang dengan menilai semula persaraan dan jaminan kewangan; menjadikan penuaan penduduk sebagai pemacu ekonomi melalui inovasi dan peralihan tenaga kerja; membentuk dasar dan strategi untuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan; serta menggalakkan kerjasama antara generasi bagi membina masyarakat yang maju dan inklusif.

Persidangan dua hari ini menghimpunkan lebih daripada 850 delegasi secara fizikal serta 730 delegasi secara dalam talian dan turut dijayakan bersama lebih 20 rakan kongsi daripada pelbagai industri dan 25 penceramah terkemuka dari seluruh dunia.

ISWC 2025 merupakan anjuran bersama antara KWSP, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF). Matlamat persidangan ini adalah untuk mencetuskan idea dalam penggubalan dasar berkaitan ekonomi usia panjang (longevity economy) yang merupakan satu pemacu transformatif terhadap cara masyarakat bekerja dan menua dengan lebih bermakna.

Sempena persidangan ini juga, KWSP akan melancarkan Komitmen Kelestarian (Komitmen)—satu langkah penting dalam memperkukuh usaha berterusan KWSP untuk menerajui pelaburan kelestarian dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi setiap aspek operasi dan strategi pelaburannya.

Selaras dengan Komitmen ini, KWSP turut melaksanakan penambahbaikan strategik terhadap polisi-polisi Pelaburan Lestari (Sustainable Investment) bagi mengukuhkan aspirasi baharu organisasi serta menyelaraskan semula jangkaan KWSP terhadap syarikat pelaburan.

 

Arkib Foto

Logo Accessibility