Kementerian Kewangan meneruskan Program Jelajah Belanjawan 2025 di Ipoh, Perak melibatkan pemain utama sektor industri sawit bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Penganjuran sesi libat urus ini yang turut mendapat kerjasama Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad diadakan di Wisma Taiko, Ipoh, Perak.
Seramai 10 pemimpin syarikat sawit terbesar di Malaysia telah hadir memberikan input serta cadangan belanjawan mereka. Antaranya adalah KLK Berhad, IOI Plantation, United Plantation, Boustead Plantations, SD Guthrie, Wilmar Plantation, Genting Plantations, Johor Plantation, Felda Global Venture (FGV) dan Tradewinds Plantation.
Turut hadir ialah YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Input dan cadangan yang diterima berkisar tentang keperluan untuk memacu industri sawit di Malaysia ke tahap lebih baik selain berkaitan tenaga kerja asing, kadar pengeluaran sawit yang rendah dan usaha meningkatkan aktiviti hiliran berkaitan sawit dalam memastikan kelangsungan industri sawit negara.
Semua cadangan dan input yang diterima akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2025, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.