Dengan berkonsepkan turun padang ke premis pembayar cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tampil secara bersemuka sebagai tanda sokongan dan komitmen untuk memberikan kefahaman berkenaan pelaksanaan e-Invois kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Program Jelajah Mega e-Invois yang diadakan serentak di seluruh Malaysia.

Program ini bertujuan mendekati lebih ramai pembayar cukai serta mempergiat promosi dan mendidik pembayar cukai ke arah pelaksanaan e-Invois.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan.

Program ini menyasarkan PMKS, komuniti e-dagang serta orang awam dengan objektif memperkenalkan sistem e-Invois dan memberi pemahaman menyeluruh mengenai manfaat serta kaedah pelaksanaannya. Seramai 1,000 pegawai daripada 38 pejabat HASiL seluruh negara terlibat secara serentak untuk menjalankan lebih 4,000 lawatan premis bagi membuka ruang kepada pembayar cukai mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan ke atas pelaksanaan e-Invois secara berterusan.