Pilih bahasa anda
Sekitar Program Mikro Kredit Turun Padang Bersama-sama Timbalan Menteri Kewangan yang telah berlangsung di Pasar Tani Dataran Puchong Permai, Selangor.
Program ini diadakan bertujuan untuk memperkasakan komuniti peniaga melalui pendedahan kepada cabaran perniagaan masa kini, dengan penekanan terhadap skim pembiayaan yang tersedia. Selain itu, para peniaga turut diperkenalkan kepada pelbagai bentuk bantuan bukan kewangan seperti latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta khidmat nasihat kewangan. Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga mengenai penggunaan platform digital bagi mengembangkan dan memperkukuh perniagaan mereka.
Menerusi program turun padang ini, YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan berpeluang beramah mesra dengan para peniaga serta mengadakan lawatan ke reruai agensi-agensi yang terlibat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan kecil.
Antara agensi yang mengambil bahagian untuk program ini ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Diharapkan usaha berterusan melalui program seumpama ini dapat membantu lebih ramai usahawan mikro mengembangkan perniagaan mereka, seterusnya memperkukuh ekonomi komuniti setempat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.