Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bagi Masyarakat Orang Asli diteruskan ke Daerah Lipis, Pahang yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun 2025 sebagai komitmen berterusan Kerajaan dalam menyantuni Masyarakat Orang Asli secara langsung dan menyeluruh.
Seramai 412 penerima dalam kalangan Masyarakat Orang Asli dari kawasan Pos Lenjang, Pos Titom, RPS Betau dan Prosdet Pantos daripada Suku Semai dan Bateq telah menerima bantuan STR di Dewan RPS Betau, Lipis, Pahang dengan jumlah penunaian direkodkan sebanyak RM224,450.00.
Menariknya, program kali ini turut disertai Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi pendedahan berkenaan keselamatan kewangan dan keperluan asas dalam mengurus wang dengan lebih teratur dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk semakan program bantuan PeKa B40 selain pemeriksaan kesihatan. Tambahan agensi ini adalah sebagai pelengkap kepada agensi sedia ada yang terlibat iaitu LHDNM, BSN dan JAKOA.
Inisiatif ini mencerminkan hasrat Kerajaan untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang sewajarnya — selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan penyampaian bantuan yang adil, menyeluruh dan bersasar.