Situasi yang melanda dunia kebelakangan ini seperti penularan COVID-19, ketegangan geopolitik, krisis makanan, peningkatan inflasi dan sebagainya telah membantutkan kemajuan ekonomi dan masyarakat dan memerlukan penyelesaian yang komprehensif.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menyambut baik peluang untuk menyertai sesi dialog yang bertajuk “Taking the long view” semasa mewakili Malaysia di World Economic Forum 2022 di Switzerland.

Ketika sesi dialog tersebut, beliau berkesempatan berkongsi pendapat serta cara-cara bagaimana kita dapat mencapai objektif negara bagi jangka masa panjang. Ini termasuk fleksibiliti dan ketangkasan dalam merancang dasar dengan baik, kepimpinan yang berwawasan, menginstitusi kepentingan masa depan menerusi perundangan, komunikasi awam yang konsisten, bina ketahanan ekonomi dengan mengutamakan komitmen ESG, serta pembuatan dasar secara kolaboratif.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli panel yang mengambil bahagian dalam sesi dialog tersebut. Beliau percaya cara paling berkesan untuk maju adalah dengan saling berkongsi dan bertukar pendapat.