
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi konsultasi #Bajet2022 bersama institusi-institusi kewangan pembangunan tempatan (DFI) secara dalam talian.
Peranan DFI sangat penting dalam pemulihan ekonomi negara, terutamanya sebagai pemangkin sektor perniagaan di Malaysia. Sebagai institusi yang memberi kemudahan kewangan kepada perniagaan, Kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan dan langkah-langkah yang diambil DFI.
Semenjak 2020, Kerajaan telah memberikan peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi serta #Belanjawan2021 kepada DFI untuk membantu peniaga berdiri semula, sebagai contoh, RM500 juta Geran Pendigitalan kepada SME Bank, RM400 juta Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank, RM300 juta Skim Pembiayaan Mikrokredit PEMERKASA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan lain-lain lagi.

Beliau turut menyarankan agar DFI merangka polisi yang praktikal dan tidak membebankan rakyat bagi membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin, selaras dengan objektif DFI untuk membangunkan sosioekonomi rakyat.
Di dalam #Bajet2022 tidak lama lagi, inisiatif kemudahan kewangan untuk perniagaan akan ditambah baik agar ia sesuai dengan keperluan semasa ke arah pemulihan ekonomi.