Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama Wakil-Wakil Industri Insurans dan Takaful

Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama Wakil-Wakil Industri Insurans dan Takaful

COVID-19 telah menyerlahkan lagi pentingnya keselamatan sosial bagi golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat kita. Memandangkan penyertaan insurans yang rendah di kalangan kumpulan B40 dan di dalam semangat #KeluargaMalaysia, subsidi Kerajaan untuk perlindungan insurans dan takaful adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial untuk B40. Ini merupakan langkah awal ke arah penambahbaikan jaringan sosial, yang akan diperhalusi oleh Kerajaan melalui Belanjawan 2022 dan sebagai salah satu komponen program PERKUKUH Pelaburan Rakyat.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi konsultasi #Bajet2022 secara maya bersama wakil-wakil industri insurans dan takaful untuk berbincang mengenai input #Bajet2022, khususnya dalam topik keselamatan sosial. Seperti yang kita semua maklum, keselamatan sosial adalah benteng pertahanan utama dalam menjamin kelangsungan hidup, terutamanya bagi golongan B40.

Bermula 30 September 2021, sebanyak 3.6 juta golongan isi rumah B40 boleh mula menyemak status kelayakan mereka untuk Baucar Perlindungan Tenang bernilai RM50, sebuah inisiatif di bawah #Belanjawan2021 yang menyediakan pelan perlindungan mampu milik untuk golongan B40. ⠀

Di bawah inisiatif ini, penerima yang layak boleh menggunakan Baucar Perlindungan Tenang untuk melanggan pelbagai jenis pelan perlindungan yang meliputi kematian, kemalangan kerosakan harta benda dan lain-lain. ⠀

Beliau berharap agar mereka yang layak akan menggunakan inisiatif ini sebaik mungkin untuk melindungi diri dan keluarga tercinta. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari di laman sesawang www.myptv.my dan www.mycoverage.my atau boleh menghubungi Pusat Panggilan Program Baucar Perlindungan Tenang di talian 03 7723 9333.