Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri Belia dan Sukan

Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri Belia dan Sukan

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi konsultasi #Bajet2022 bersama YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia Dan Sukan, bagi membincangkan input dan cadangan yang boleh diterapkan ke dalam #Bajet2022.

Secara peribadi, topik belia dan sukan ini memang amat dekat di hati beliau dan pastinya agenda memperkasa industri sukan dan kesejahteraan belia menjadi antara fokus penting Kerajaan dalam merencana perancangan untuk Malaysia pasca pandemik.

Sebelum ini di bawah #Belanjawan2021, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif khusus buat belia seperti RM300 juta Program eBelia untuk menggalakkan penggunaan eDompet dalam kalangan belia, RM700 juta untuk MySTEP bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dan belia profesional dan RM100 juta untuk latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta di bawah seliaan Human Resources Development Fund (HRDF).

Bagi sektor sukan pula, RM28 juta diperuntukkan bagi Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM55 juta bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi dan atlet wanita dan had pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk pembelian peralatan sukan dan bayaran kemasukan ke fasiliti sukan.

Kesemua inisiatif tersebut masih berjalan dan boleh memanfaatkan golongan belia #KeluargaMalaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan Kerajaan, orang ramai boleh layari di laman sesawang https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/