Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri KKMM

Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri KKMM

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi konsultasi #Bajet2022 bersama YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi Dan Multimedia dan delegasi kementerian.

Seperti yang kita semua maklum, pandemik COVID-19 telah secara drastik mengubah cara kita berkomunikasi antara satu sama lain, bukan sahaja di peringkat profesional malah juga antara keluarga dan rakan taulan. ‘Video call’ dan ‘zoom meeting’ kini amat sinonim dengan aktiviti harian kita. Justeru, kesalinghubungan internet atau internet connectivity di Malaysia amatlah penting terutama sekali di bahagian luar bandar bagi memastikan rakyat dapat terus berhubung dengan satu sama lain. ⠀

Di bawah Belanjawan 2021, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif khusus bagi merapatkan jurang digital dan memastikan akses internet sampai kepada semua anggota #KeluargaMalaysia walau di mana pun mereka berada. Antara inisiatif ini adalah RM1.5 bilion bagi Program Jaringan Prihatin, iaitu subsidi telefon pintar dan kemudahan internet untuk golongan B40, RM500 juta untuk inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan kesalinghubungan 430 sekolah seluruh negara dan RM42 juta untuk penambahbaikan internet di 25 kawasan perindustrian. ⠀ ⠀

Usaha Kerajaan dalam memantapkan lagi kesalinghubungan di Malaysia pastinya tidak berhenti, menerusi sesi libat urus berterusan dengan pelbagai pihak, Kerajaan akan terus merencana pelan yang akan memanfaatkan #KeluargaMalaysia secara holistik.