Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri MOTAC

Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri MOTAC

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi konsultasi #Bajet2022 secara maya bersama YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya dan delegasi kementerian untuk membincangkan input dan cadangan bagi memulih semula industri pelancongan dan seni budaya Malaysia.

Sepanjang pandemik COVID-19, industri ini adalah antara yang paling terjejas. Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan industri ini untuk dirancakkan semula secepat mungkin namun keputusan harus dibuat dengan berhati-hati demi memastikan nyawa dan kehidupan #KeluargaMalaysia terus terjamin.

Justeru, bagi mengurangkan impak pandemik, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kelangsungan industri ini. Bukan sahaja dari segi sokongan kewangan, tetapi juga dari segi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dengan sangat berhati-hati. Antara inisiatif tersebut adalah pembukaan semula sektor ekonomi, gelembung pelancongan, Program Subsidi Upah, skim pembiayaan mikrokredit dan lain-lain di bawah pakej rangsangan ekonomi dan #Belanjawan2021.

Kerajaan akan terus komited untuk menambah baik inisiatif-inisiatif sebegini dari semasa ke semasa. Beliau berharap agar negara terus berada di landasan pemulihan yang tepat dan akan dapat meningkatkan momentum dalam usaha menghidupkan semula industri pelancongan Malaysia.