Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri Sumber Manusia

Sesi Konsultasi #Bajet2022 bersama YB Menteri Sumber Manusia

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bersama YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dan delegasi kementerian secara maya bagi membincangkan input yang boleh diterapkan dalam Belanjawan 2022. Topik perbincangan berkisar mengenai pembangunan modal insan serta keselamatan sosial pekerja terutamanya dalam menghadapi COVID-19.

Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif-inisiatif khas yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia untuk melindungi pekerja dan memelihara kebajikan rakyat Malaysia. Antara inisiatif tersebut adalah Program Subsidi Upah, sebuah program yang dirangka untuk mengekalkan lebih 2.5 juta pekerjaan dengan peruntukan lebih RM20 bilion sehingga hujung tahun, Reskilling And Upskilling Programme untuk meningkatkan kemahiran individu hilang pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja bagi menggalakkan pengambilan pekerja dalam kalangan golongan rentan seperti OKU dan penganggur tegar.

Inisiatif sebegini semua adalah langkah penting yang diambil Kerajaan untuk melindungi kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia. Kerajaan akan terus meneliti dan menambah baik pelaksanaan inisiatif sesuai dengan keperluan semasa. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Menteri atas semua cadangan dan pandangan yang dikemukakan.