YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan dan #TeamMoF mengadakan sesi konsultasi #Belanjawan2022 dengan perbincangan bersama ahli-ahli ekonomi dan kumpulan pemikir (think tanks) untuk mendapatkan input bagi memastikan hala tuju belanjawan adalah inklusif dan dinamik, selaras dengan keperluan untuk memperkenalkan sebuah belanjawan yang menyokong pemulihan ekonomi negara.

Antara yang dibincangkan adalah mengenai pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hasil negara, cara-cara untuk terus membantu rakyat yang terjejas, langkah-langkah untuk memulihkan semula sektor-sektor yang masih terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pembaharuan struktur untuk Malaysia bangkit sebagai ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing. ⠀
Beliau turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyertai perbincangan tersebut antaranya Khazanah Research Institute, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), The Centre, Malaysian Institute Of Economic Research (MIER), Research For Social Advancement Berhad (REFSA) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
Beliau amat menghargai dan berterima kasih terhadap semua pandangan yang telah diberikan sepanjang sesi perbincangan berlangsung dan akan meneliti pandangan-pandangan tersebut dalam merencanakan #Belanjawan2022 yang inklusif dan memenuhi aspirasi rakyat.