Sekitar Sesi Kunjungan Hormat Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan (MOF) yang diketuai oleh YBhg. Dato' Hajah Norison Ramli, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan ke atas YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara di pejabat beliau. Turut serta dalam pertemuan ini ialah YBrs. Tuan Kamal Azira Hassan, Peguam Cara Perbendaharaan.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama dan komunikasi antara Bahagian Perolehan Kerajaan, MOF dan Jabatan Audit Negara khususnya dalam memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih telus, cekap dan amanah.
Sejajar dengan hasrat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk mempertingkat tatakelola yang baik dan integriti dalam pengurusan kewangan negara, Bahagian Perolehan Kerajaan, MOF telah menggubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan. Rang Undang-undang ini bertujuan untuk memperkemas proses perolehan, mengurangkan risiko penyelewengan serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan perolehan awam.
Sesi perbincangan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan dan cadangan berkaitan penggubalan Rang Undang-undang tersebut, bagi memastikan ia selaras dengan kehendak audit dan piawaian pengurusan kewangan negara.
Dengan kerjasama erat antara Bahagian Perolehan Kerajaan, MOF dan Jabatan Audit Negara diharapkan pelaksanaan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan tadbir urus kewangan yang mampan dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI.