YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menerima kunjungan hormat daripada Presiden Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia, Saudara Abdul Malik Mohamed Zin.
Dalam pertemuan tersebut, wakil kesatuan kastam menyatakan komitmen untuk mencapai sasaran kutipan cukai bagi tahun 2022.

Beliau yakin dengan komitmen yang diberikan memandangkan selama ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa gigih meningkatkan hasil negara. Di samping itu, JKDM bertindak sebagai barisan hadapan untuk mengekang penyeludupan serta mencegah ketirisan hasil dengan memperhebat kawalan pintu-pintu keluar dan masuk negara.
Kejayaan rampasan terbesar JKDM pada 2021 adalah apabila mereka berjaya melumpuhkan kartel dadah antarabangsa dan merampas dadah jenis amfetamina seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion, terbesar dalam sejarah rampasan dadah di Malaysia.
Beliau juga yakin prestasi cemerlang warga Kastam akan dapat dipertingkatkan pada tahun ini dengan pembukaan semula sempadan negara sejajar fasa peralihan ke endemik.