Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Perak diteruskan dengan lawatan YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diberikan perhatian serius.
HRPB yang mula beroperasi sejak tahun 1981 dengan kapasiti 500 buah katil dan berstatus Hospital Negeri kini berdepan dengan lambakan pesakit serta trend peningkatan yang ketara terutama di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Ini menjadikan keadaannya yang tidak kondusif dan menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Atas dasar keprihatinan terhadap keluhan rakyat juga petugas kesihatan, Pasukan Belanjawan 2024 sedang mengusahakan kelulusan khas sebanyak RM1,147,500.00 bagi memenuhi keperluan mendesak antaranya kerja naiktaraf ruang klinikal dan kaunter triage (saringan), pewujudan bilik dekontaminasi dan projek penambahan katil baharu.
Lawatan ke Tapak Projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Batu 6, Tambun pula memfokuskan tentang keperluan pembangunan infrastruktur seperti kerja tanah, sistem jalan dan perparitan, kolam tadahan, lampu jalan, bekalan air dan bekalan elektrik. Keseluruhan usul ini bakal menelan kos kira-kira RM3.89 juta.