Sesi Libat Urus #Bajet2022 Bersama Pemain Industri Aeroangkasa

Sesi Libat Urus #Bajet2022 Bersama Pemain Industri Aeroangkasa

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan yang turut ditemani oleh YB Tuan Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan berada di Aerodyne Campus, Cyberjaya untuk sesi konsultasi #Bajet2022 bersama pemain industri aeroangkasa serta agensi-agensi berkaitan seperti Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

Sesi tersebut amat penting bagi memastikan pemerkasaan industri aeroangkasa dapat diteliti dengan lebih input dan cadangan daripada pelbagai pihak.

Malaysia adalah salah satu hab Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) dan pembuatan komponen-komponen aeroangkasa seperti kapal terbang, turbin dan lain-lain. Melihat kepada pencapaian industri ini pada pra-pandemik, nilai jualan industri telah mencapai RM16.2 bilion melibatkan sebanyak 270 syarikat yang menyediakan lebih 27,000 pekerjaan. Pastinya industri sebegini amat berpotensi besar untuk dikembangkan dalam usaha kita memulih semula ekonomi, terutama sekali dalam sektor teknologi dron di mana teknologi ini boleh diaplikasikan rentas industri, terutamanya industri pertanian dan keselamatan awam.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), industri aeroangkasa merupakan salah satu industri yang diberi penekanan untuk dibangunkan. Jika dilihat, syarikat dron dari Malaysia, Aerodyne, merupakan syarikat perkhidmatan dron nombor satu dunia berdasarkan senarai Drone Service Provider Ranking 2021. Oleh itu, potensinya sangat besar untuk Malaysia terus menjuarai segmen ini di peringkat global.

#TeamMOF akan meneliti cadangan dan input yang diberikan agar kita dapat memastikan industri sebegini berkembang lebih maju dan memberikan impak positif langsung kepada #KeluargaMalaysia.