Sesi libat urus Belanjawan 2025 diteruskan dengan sesi mesyuarat kumpulan fokus berkait pembangunan komuniti dan perusahaan sosial.
Sesi libat urus ini dipengerusikan secara bersama oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan dan YBhg. Tan Sri Md Nor Yusof, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Hasanah.
Kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan organisasi bukan berasaskan keuntungan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Sehubungan itu, sesi dialog ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan input bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pelbagai kumpulan rentan di Malaysia. Pandangan dan cadangan mengenai pembangunan kapasiti, penggubalan dasar dan penyelesaian inovatif akan membantu Kerajaan dalam merangka strategi yang inklusif, saksama dan berimpak melalui Belanjawan 2025. Ia juga amat bertepatan dengan kerangka Ekonomi MADANI ke arah meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.
Sesi libat urus ini dihadiri lebih daripada 40 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dan perusahaan sosial. Sesi yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama Yayasan Hasanah ini turut dihadiri Pasukan Belanjawan 2025.
#MalaysiaMADANI
#Belanjawan2025