Pilih bahasa anda
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Komunikasi (KK) telah diadakan dan dihadiri oleh YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi dan YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi.

Sesi ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi jingga, khususnya sektor kreatif negara, bagi membina ekosistem industri yang lebih kukuh dan berdaya saing, selaras dengan perkembangan pasaran serta perubahan landskap digital dan seni tempatan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperkasa industri perfileman dan penganjuran konsert tempatan, mempercepat pertumbuhan serta pengkomersialan harta intelek (IP) industri kreatif, selain memperluas sokongan terhadap penerbitan kandungan kreatif berkualiti tinggi.

Perbincangan turut merangkumi penyediaan platform pameran dan pasaran komersial yang dapat membuka lebih banyak peluang serta memberi nilai tambah kepada penggiat ekonomi gig, khususnya dalam sektor kreatif. Aspek kebajikan turut diberi perhatian, termasuk sokongan berterusan kepada pengamal media dan veteran industri.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi bersama Pasukan Belanjawan 2027.