Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) meneruskan siri Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia.
Sesi ini memberi tumpuan kepada cadangan strategik bagi memperkukuh sistem pengangkutan negara yang lebih bersepadu, cekap, selamat dan inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperluas serta meningkatkan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan, memperkukuh infrastruktur first-and-last mile, meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta memperluas akses kepada perkhidmatan pengangkutan, khususnya bagi masyarakat di kawasan pedalaman.
Sektor pengangkutan bukan sekadar menghubungkan satu destinasi dengan destinasi yang lain. Sistem pengangkutan yang cekap menghubungkan rakyat kepada pekerjaan, pendidikan dan peluang ekonomi, selain menjadi pemangkin kepada perdagangan, pelaburan serta daya saing negara.
Sehubungan itu, Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada peningkatan kapasiti dan keupayaan rangkaian pengangkutan bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat yang semakin berkembang. Usaha ini penting untuk meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh keterangkuman sosial serta memastikan akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang lebih saksama dan menyeluruh.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha MOT; pegawai-pegawai kanan MoF dan MOT serta Pasukan Belanjawan 2027.