Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mempengerusikan Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia sebagai sebahagian daripada persediaan penyediaan Belanjawan 2027.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF); serta Pasukan Belanjawan 2027.
Sesi libat urus ini antara lain memberi tumpuan kepada cadangan strategik bagi memperkukuh agenda pertahanan dan keselamatan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan pertahanan negara, memperkukuh pembangunan industri pertahanan tempatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan, di samping mempertingkat daya tahan sektor pertahanan serta kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan keluarga mereka.
Belanjawan 2027 turut dibentuk melalui suara rakyat. Orang ramai dialu-alukan untuk mengemukakan idea, pandangan dan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan di:
https://belanjawan.mof.gov.my