Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) telah mengadakan Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi meneliti keutamaan serta cadangan strategik dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan sektor agro makanan negara.
Sesi yang berlangsung telah dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Antara fokus utama perbincangan ialah usaha meningkatkan tahap sara diri bagi komoditi makanan utama, memperkukuh rantaian bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan. Turut diberi perhatian ialah langkah meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah, nelayan, penternak serta peladang melalui penerapan teknologi, automasi dan amalan pertanian moden.
Perbincangan turut meneliti langkah untuk memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi, stabil dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan serta cabaran global.
Sesi libat urus ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan Kerajaan dalam memastikan penyediaan Belanjawan 2027 mengambil kira keperluan sebenar sektor dan rakyat, di samping memberi tumpuan kepada inisiatif yang bersasar, berimpak tinggi serta mampu memperkukuh keterjaminan makanan negara untuk jangka panjang.
Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha KPKM; pegawai-pegawai kanan MoF dan KPKM serta Pasukan Belanjawan 2027.