Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 Bersama Kementerian Sumber Manusia

Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 Bersama Kementerian Sumber Manusia

Kementerian Kewangan (MoF) meneruskan siri Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang dihadiri oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia; serta YB Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Sesi ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan negara dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja, selaras dengan keperluan pasaran buruh serta perubahan landskap ekonomi.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk penambahbaikan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV), peluasan akses kepada latihan dan peningkatan kemahiran bagi golongan rentan, serta pengukuhan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh untuk pelbagai kumpulan pekerja.

Perbincangan turut menyentuh pembangunan ekosistem ekonomi penjagaan (care economy) dan usaha menggembleng kepakaran serta bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri strategik negara. Aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, termasuk perlindungan dan sokongan kepada golongan bekerja sendiri, turut diberikan perhatian.

Usaha ini penting bagi membina tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya tahan dan berproduktiviti tinggi, di samping memastikan pembangunan ekonomi negara bergerak seiring dengan kesejahteraan dan perlindungan pekerja.

Turut hadir YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBrs. Encik Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA; YBrs. Dr. Hj. Mohd Shaharin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) KESUMA; serta pegawai-pegawai kanan MoF dan KESUMA bersama Pasukan Belanjawan 2027.

Belanjawan 2027 terus dibentuk melalui libat urus yang menyeluruh demi memastikan pembangunan bakat, peluang pekerjaan dan perlindungan pekerja bergerak seiring dalam membina ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.

Arkib Foto