Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) telah mengadakan Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meneliti cadangan serta keutamaan kementerian dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga, keterjaminan bekalan air dan kelestarian alam sekitar.
Sesi libat urus tersebut dihadiri YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha meningkatkan kecekapan tenaga dan penjimatan air, memperluas akses serta keterjaminan bekalan air bersih, memperkasa penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar.
Perbincangan ini mencerminkan pendekatan berterusan Kerajaan dalam mendapatkan pandangan kementerian dan pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan inisiatif Belanjawan 2027 disusun secara menyeluruh, bersasar dan memberi impak kepada rakyat serta pembangunan negara.
Turut hadir YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBrs. Puan Mareena Mahpudz, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), PETRA, pegawai-pegawai kanan MoF dan PETRA serta Pasukan Belanjawan 2027.