YB Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan hadir di Dewan Negara untuk sesi pertanyaan lisan serta sesi bacaan dan penggulungan RUU Kewangan.
Beliau turut menjawab pertanyaan lisan daripada YB Senator Tuan Seruandi Saad yang bertanyakan usaha Kementerian bagi memudah cara agihan bantuan-bantuan khas seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Khas COVID-19 serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diberikan kepada rakyat agar tiada lagi keciciran bantuan pada masa hadapan.
Bagi penerima yang terkesan dengan bencana banjir, beliau turut memaklumkan proses penunaian bantuan-bantuan tersebut melalui kaunter Bank Simpanan Nasional yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2021 akan dilanjutkan sehingga 31 Januari 2022.
Selaras dengan usaha Kerajaan untuk memudah cara proses permohonan bagi mengelakkan golongan yang layak daripada tercicir, proses pendaftaran BKM akan dipermudahkan dengan beberapa cara antaranya:
Pertama, mereka yang telah diluluskan BPR tidak perlu memohon semula dan akan terus dipertimbangkan untuk BKM tahun 2022 mengikut syarat kelayakan ditetapkan.
Kedua, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) serta golongan rentan seperti penerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang asli yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), golongan gelandangan dan penerima zakat baitulmal di Lembah Klang akan diproses secara automatik tanpa memerlukan permohonan.