YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan ke Wisma Muafakat, Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) Negeri Johor.

Sesi turun padang tersebut menyaksikan pihak Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak BSN bermuafakat dan berganding bahu dalam menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima yang berasal dari sekitar Johor Bahru.

Acara ‘BSN Care—Bakul Makanan Untuk Yang Memerlukan’ telah berlangsung dengan lancar. Turut bersama beliau dalam program itu adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Dato’ Asri Hamidon, YB Datuk Samsolbari Jamali mewakili Kerajaan Negeri Johor, Ketua Eksekutif BSN, Encik Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pengarah BSN Negeri Johor, Encik Mohamad Zulkarnain Ismail.

Sumbangan bakul makanan tersebut turut dijayakan dengan kerjasama jawatankuasa masjid, surau dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mewakili kaum India, Cina dan lain-lain. Melalui kerjasama mereka, 1,000 bakul makanan dapat disalurkan kepada penerima yang layak. Sememangnya program sebegini menghidupkan lagi erti ‘Keluarga Malaysia’.
Program sebegini adalah sangat bermakna kerana ini merupakan peluang bertemu dengan rakyat di Johor Bahru sambil membantu mereka di musim serba mencabar ini.