YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-38 Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram bagi sesi tahun 2022/2023.
Beliau turut berkesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada PIBG dan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram kerana sudi menjemput beliau.

Pendidikan anak-anak sememangnya diberi perhatian oleh Kerajaan. Tahun ini sahaja, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Persekutuan kepada Kementerian Pendidikan. Dari segi kementerian, ini merupakan kementerian dengan peruntukan terbesar, kerana Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang pendidikan anak-anak kita.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah peningkatan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk setiap murid yang layak, berbanding RM100 sebelum ini. Sejumlah RM450 juta telah diperuntukkan yang memanfaatkan 3 juta murid-murid.

Kerajaan juga masih meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan RM400 juta, bagi memastikan murid-murid daripada keluarga B40 mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh. ⠀

Inisiatif-inisiatif Kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa sokongan guru-guru dan ibu bapa terutamanya di dalam PIBG. Beliau terharu apabila melihat guru-guru bersemangat hadir menjayakan program tersebut. Pengorbanan dan jasa warga pendidik ini amat besar nilainya. ⠀ ⠀

Beliau mendoakan agar kesemua warga SMK Jeram diberi kekuatan dan diberi kecekalan semangat dalam terus mendidik anak-anak kita.