Sesi Perbincangan bersama Focus Group Industri Pelancongan, Seni dan Budaya

Sesi Perbincangan bersama Focus Group Industri Pelancongan, Seni dan Budaya

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan perbincangan bersama focus group Industri Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan.

Turut hadir sama ialah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta YB Datuk Seri Dr. Santhara selaku Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Antara aspek yang dibincangkan adalah bantuan yang diperlukan untuk menyemarakkan industri pelancongan, seni dan budaya, penyelenggaraan kemudahan pelancongan serta reskilling dan upskilling bagi meningkatkan kemahiran guna tenaga industri.

Pelbagai bantuan telah diberikan oleh Kerajaan untuk membantu industri pelancongan. Antara bantuan yang diberikan di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan adalah pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021.

Pada 16 September 2021, sektor pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah telah kembali dibuka sebagai projek rintis bagi program gelembung pelancongan. Beliau melihat sambutan rakyat Malaysia sangat menggalakkan. Sekiranya projek rintis ini berjaya, maka lebih banyak destinasi pelancongan boleh dibuka agar industri ini kembali bernafas. Namun begitu, beliau berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi rakyat untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Untuk makluman lanjut mengenai bantuan yang diberikan oleh Kerajaan, orang ramai boleh layari di laman sesawang kewanganrakyat.gov.my.